2. Songket

 

Songket merupakan lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Suatu ketika dahulu, para pedagang menjadikannya sebagai hadiah untuk dipersembahkan kepada para sultan. Menyedari hakikat ini, maka pihak B & B merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk membina produk songket dengan penjenamaan semula sebagai satu langkah untuk melestari dan memperkayakan lagi industri songket di Malaysia. Jika tidak dilakukan sesuatu, dibimbangi nanti songket akan mengalami kepupusan dan tidak lagi dikenali oleh generasi muda.

 

Keunikan dan kesungguhan usaha pembinaan produk songket ini adalah berdasarkan program Penyelidikan & Pembangunan (R&D) yang menjadi tunjangnya. Kajian dilakukan dengan mengenal pasti perkara-perkara dengan identiti yang boleh dikeluarkan motif. Perbezaannya ialah songket akan ditenun berdasarkan kehendak individu ataupun badan korporat dengan memasukkan identiti mereka ke dalam motif tenunan itu. Penghasilan pelbagai motif baru ini akan memperkayakan lagi khazanah motif songket Malaysia di samping mengekalkan motif-motif tradisional yang sedia ada.

 

Sebelum ini, industri songket lebih sinonim dengan negeri-negeri di pantai timur Malaysia. Namun usaha penjenamaan semula ini membina industri songket di sebelah pantai barat pula. Ini kerana industri songket bukan hak pantai timur bahkan harus bertapak di sebelah sini kerana di sini terdapat beberapa kemudahan dan dengan kelebihan itu pastinya songket tidak akan ketinggalan zaman.

 

Semoga usaha ini akan menjadi satu langkah pertama yang serius ke arah mewujudkan industri songket yang dijalankan secara besar-besaran dan mampu menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara. Dengan kata lain, usaha ini adalah untuk terus memartabatkan songket bukan sahaja di Malaysia, bahkan melangkaui persada antarabangsa.