Ketika Mazlan mengemaskan briefcasenya, dia terlihat ada tiga leaflet yang diambil oleh Ireen dari Masjid Kowloon. Semasa mengemas kamar di hotel pagi tadi, dia melihat leaflet itu lalu memasukkannya ke dalam briefcasenya. Diambilnya satu dan dibacanya. Leaflet dalam bahasa Inggeris itu menjelaskan tentang ‘iman diperkukuh dengan solat’. [1] Dia terbaca satu baris ayat yang menyebut bahawa seseorang itu tidak akan percaya dengan sesungguh-sungguhnya kepada Allah jika dia tidak solat. Ayat itu membawa Mazlan kembali ke waktu siang semalam. Dia teringat tentang dia solat di Masjid Maulana Haq. Dia teringat tentang rasa keganjilan yang diikuti dengan satu rasa kepuasan yang tidak pernah dialaminya sebelum itu. Dia hairan kerana tidak pernah membayangkan untuk mendapat rasa kepuasan dari solat. Bagi Mazlan itu adalah satu perkara yang amat menghairankan. Sebenarnya ia satu jawapan yang tidak pernah ditemuinya selama ini kerana hakikatnya dia tidak berusaha mencari itu.

Pernah dia sebagai seorang dewasa bertanya di mana letaknya kepuasan di dalam mengerjakan solat. Bukan sahaja ditanyakan kepada dirinya sendiri, malah pernah dibincangkan dengan kawannya dahulu tetapi tidak pernah mendapat jawapan yang memuaskan. Mungkin juga kerana kawannya itu pun tidak solat seperti dia. Terlintas di hatinya untuk bertanya pada Ireen kenapa dia sembahyang di gereja. Tetapi itu pasti tidak akan memberi jawapan yang dicarinya. Ireen bukan orang Islam. Pastilah sebab-sebab kenapa seseorang itu sembahyang adalah berlainan dan kepuasannya juga berbeza.

Mazlan mengatur kembali fikirannya yang sudah entah ke mana memikirkan tentang solat. Dia bangun dari kerusi yang didudukinya dan berjalan ke fire place yang sedang hidup dengan kayu yang dibakar untuk mendapatkan haba. Di banglo itu ada beberapa fire place dan Rahim awal-awal tadi telah menyalakan dua di antara tiga di bahagian bawah. Selain dari perpustakaan itu satu lagi yang dihidupkannya iaitu di ruang tamu. Ruang yang terletak tidak jauh dari perpustakaan.

Mazlan melihat buku-buku yang teratur rapi. Di satu bahagian dilihatnya ada senaskhah al-Quran dan beberapa buah buku tentang agama. Ada yang berbahasa Inggeris, Arab dan ada pula yang berbahasa Perancis. Kemudian di bahagian yang lain, ditelitinya buku tentang undang-undang dan di sebelahnya pula ada berbagai-bagai buku tentang falsafah. Mazlan memeriksa lagi apa yang ada dan disedarinya tuan punya banglo itu adalah orang yang berpelajaran tinggi dan bukan seperti apa yang disangkanya pada awal tadi, Arab kaya biasa.

Setelah sampai ke hujung barisan buku yang berbagai-bagai, Mazlan kembali ke bahagian agama. Dibukanya sebuah buku yang berjudul ‘Maulid Sherif’. Buku itu kecil sahaja dan dicetak pada tahun 1945 di Great Britain. Diambilnya dan dibawa ke tempat duduk tidak jauh dari Ireen dan juga rapat dengan unggun api di fire place. Mazlan membacanya dan apabila selesai lapan muka, dia tidak sedar yang air matanya sudah berlinang. Buku itu adalah sajak yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dari bahasa Arab tentang kelahiran Nabi Muhammad.

Mazlan mengambil nafas yang panjang dan mengeringkan matanya dengan berhati-hati supaya tidak kelihatan oleh Ireen. Buku pocket size berkulit keras itu dipegangnya dengan kuat dan dibawa ke dadanya. Mazlan memang sukakan puisi tetapi dia tidak pernah menitiskan air mata kerana membaca sesuatu yang begitu indah. Dinyalakannya sebatang rokok dengan menggunakan api yang sedang menyala kecil yang kadangkala meletup-letup sedikit. Suasana di ruang itu amat tenteram dengan kedengaran bunyi muzik klasik yang terhasil dari stereo yang dipasang dengan volume yang rendah. Mazlan terfikir untuk solat pada malam itu. Bukan. Sekarang juga.[2]

 

 

 

 

 

 

[1] Solat itu mikraj bagi mukmin. Mikraj bermaksud alat atau kenderaan yang meningkatkan kualiti diri seorang mukmin. Jika Nabi Muhammad saw bertemu Allah SWT dalam peristiwa mikraj, maka umat Islam menghadapkan wajah hati sepenuhnya kepada Allah SWT semasa solat. Perhatikan maksud doa Iftitah: “Ku hadapkan wajahku (wajah sebenar dan hati) kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi.” Solat dengan kehadiran hati akan membersihkan hati, mengindahkan budi dan menyerlahkan peribadi. (maksud ayat al-Quran)

 

[2] Perkara pertama yang akan dinilai di akhirat kelak ialah solat. Jika beres urusan solat seseorang, maka barulah akan dilihat amalan yang lain. Justeru, jangan meremehkan urusan solat.