Bunga Miniatur

Keindahan Ciptaan Yang Dilupakan

28 Januari 2005

 

Allah S.W.T. mencipta alam ini dengan Kebijaksanaan Mutlak supaya kita mengenal Nya. Terbukti bahawa keindahan dan kehalusan menjadi suatu kemestian dalam setiap komponen ciptaanNya. Kerana itu semua makhluk mempunyai keindahan dan kehalusannya yang tersendiri. Begitulah keluasan ilmu Allah S.W.T. dan pengetahuan itu amat sedikit diimbaskan kepada manusia. Ilmu yang sedikit itupun pada nisbah manusia sudah terlalu banyak untuk dikumpul dan difahami keseluruhannya. Ilmu untuk mengukur tahap kemampuan manusia dalam memahami ilmu Allah juga masih terlalu jauh dan terbatas. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

“Dan kamu hanya diberikan sedikit sahaja dari ilmu pengetahuan”. 17:85.

 

Rasulullah s.a.w. juga pernah menegaskan bahawa ilmu manusia hanyalah seperti air yang melekat pada jari yang dicelup ke dalam lautan yang luas. Walau apapun ia bukan penghalang untuk mencari ilmu, malah menjadi pemangkin semangat untuk menggali ilmuNya yang luas ini. Anjuran Rasulullah s.a.w. supaya mencari ilmu biar sampai ke negeri Cina (Dari Anas dan al-Baihaqiy) mungkin juga bersifat Kinayah (metaforik). Mungkin antara maksudnya “Intailah dahulu apa yang di hadapan tangga sebelum kita menjelajah dunia”. Manusia pasti akan terpegun jika ilmu untuk mengenali Allah S.W.T. disingkap dan dihidangkan kepadanya.

 

Ilmu mengenai alam bunga-bungaan miniatur atau bunga-bunga halus adalah salah satu ilmu yang memperkenalkan manusia kepada Maha Pencipta. Semua orang kenal dan pernah menikmati keindahan bunga yang kebanyakannya berbau harum. Semua orang mengenali mawar atau orkid, tetapi pernahkah kita mengenali betapa indahnya bunga rumput atau dari tumbuhan liar? Terdapat beratus ribu bunga dalam kategori bunga-bunga miniatur di dunia ini yang tidak menjadi perhatian kerana ia terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar. Ia bukan sahaja menghiasi rumput malah terdapat juga pada pepohon besar menjulang beratus kaki memaut awan. Inilah keajaiban yang telah ditemui oleh Puan Hajjah Nuraini Mohd. Zain dari Black & Brown, hasil dari kajian beliau terhadap bunga miniatur kebelakangan ini.

 

Penemuan ini bermula dengan langkah pembinaan projek mushaf al-Quran oleh masyarakat orang Asli. Maka timbul pula keperluan mencari dan mengumpul bahan untuk hiasan motif pada lembaran mushaf itu. Biasanya motif bunga-bungaan menjadi pilihan dan ia banyak terdapat di sekitar perkampungan orang Asli. Dari perkarangan rumah mereka ke pinggir hutan dan seterusnya ke hutan tebal, menunjukkan bahawa bumi kita terhias dengan bunga-bunga miniatur yang indah. Kebanyakannya masih belum bernama dan ada di antaranya yang belum pernah ditemui apatah lagi dikenali. Pengalaman berharga ini telah mengerakkan Black & Brown membina satu lagi projek: mencari, mengenal dan membukukan bunga miniatur Malaysia dalam dunia orang Asli dan juga di tempat lain. Hasilnya sungguh menakjubkan.

 

Kita akan dihidangkan dengan bunga-bunga miniatur yang beraneka rupa, sebaik sahaja melangkah keluar dari rumah, sama ada  rumput yang hidup terselit di tepi bangunan atau mungkin dari tumbuhan yang ditanam. Setiap kelopak, setiap stigma mempunyai struktur dan rupa yang berlainan. Setiap kuntum atau jambaknya merangsang suatu perasaan keanehan. Mereka yang melihatnya akan terlintas dengan pemikiran ‘Maha Kaya Allah’. Justru tercetus soalan, “Apakah rahsia bunga sekecil ini pun dicipta dengan kehalusan dan kerumitan yang menakjubkan. Apakah tujuanNya?’ Dan jawapan kita pastilah, “untuk kita mengenalNya”. Inilah rahsia yang menambat hati Tun Dr. Mahathir apabila Black & Brown menunjukkan keajaiban itu pada beliau. Tan Sri Mokhtar Bukhari juga turut kagum dan terus menghulurkan bantuan melalui Yayasan Bukhari untuk diteruskan  kajian serta menghasilkan buku ‘Beauty in Miniature’ yang akan beredar di pasaran pada tahun ini.

 

Keindahan terhasil dari proses penciptaan seni. Allah S.W.T. adalah ‘Seniman Mutlak’. Dari ciptaanNyalah kita mempelajari erti keindahan. Dari satu segi, alam ini adalah Ayat Allah S.W.T. dalam erti kata tanda yang menunjuk kepada kekuasaanNya. Bunga-bunga miniatur adalah salah satu daripada ayat-ayat Allah S.W.T. Dari ‘ayatNya’ yang ini mungkin boleh ditafsirkan, ‘buatlah seindah mungkin walaupun perkara kecil. Bagi Allah S.W.T. tidak ada perkara kecil yang tidak harus diambil kira dengan penuh penelitian’. Alangkah malunya mengenang sifat manusia yang tidak mempedulikan yang kecil atau apa yang dibuat, walaupun perkara yang telah diamanahkan itu adalah besar.

 

Dengan bantuan teknologi terkini keindahan bunga miniatur boleh dinikmati. Cara yang paling mudah ialah menggunakan kanta yang membantu membesarkan imej. Namun bagi mereka yang berkemampuan lensa kamera 30mm. 1:2.8 akan membantu kuasa mata yang terhad. Kini teknologi digital menyediakan berbagai kemudahan agar keindahan dunia miniatur ini dapat dilihat dan direkod. Bagi mereka yang mahu mengambil jalan ringkas atau tidak berkesempatan maka tunggulah kehadiran buku ‘Beauty in Miniature’ tidak lama lagi, Insya-Allah.

 

Mengenali bunga-bunga ini dengan lebih mendalam juga penting. Selain dari menikmati keindahannya yang asas, ia juga menghidangkan pengetahuan dalam pelbagai bidang, khususnya perubatan. Bagi mengenal pasti penamaan dan khasiat perubatannya, Black & Brown dibantu oleh pengkaji daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan FRIM. Keindahannya membangkitkan kesedaran, khasiatnya menjadi penawar kepada kesihatan tubuh badan.

 

Kekayaan biodiversiti tumbuh-tumbuhan hijau menyebabkan Malaysia terkenal dengan jolokan ‘Green Gold’ atau Emas Hijau. Keistimewaan yang Allah S.W.T. berikan ini menjadi sumber ilham pada bidang seni, selain menjadi bahan untuk fotografi dan juga lukisan.

 

Ternyata bunga miniatur ini mempunyai daya untuk menganjak paradigma manusia dalam mengenali Penciptanya. Malah, manfaat yang tidak terhingga dari tumbuhan kecil ini boleh menjadi salah satu penawar kedahagaan rohani dan jasmani umat manusia khususnya pada zaman serba materialistik ini. Wallahu A’lam.

 

Beauty in Miniature’: Buku ini menyerlahkan kebijaksanaan ciptaan Allah S.W.T melalui bunga-bunga miniatur