1. Jubin Girih

 

‘Girih Tiles’ ialah seni geometrik Islam yang telah digunakan dalam dunia seni bina Islam sejak lebih 800 tahun yang lampau. Peter J. Lu telah membuktikan melalui kajian yang dibuatnya bahawa masyarakat Islam telah lebih mendahului mengaplikasikan Girih Tiles ini iaitu gabungan matematik dan seni dalam seni bina. Penemuan ini telah mengalih pandangan mengenai seni geometrik yang dikemukakan oleh Roger Penrose pada tahun 1970-an.

 

‘Girih Tiles’ mempunyai karakteristiknya tersendiri iaitu binaannya terdiri daripada gabungan lima poligon antaranya pentagon, decagon dan hexagon yang masing-masing mempunyai pola dekorasi yang unik. Binaannya juga bersandarkan kepada garis-garis geometrik dan mempunyai bentuk di antara bentuk. Binaan Girih Tiles ini boleh dilihat dibinaan-binaan bangunan di Isfahan, Iran, Turki dan Taj Mahal di India.

 

Melalui inspirasi ini, Black & Brown kini mengorak langkah melaksanakan usaha untuk mengadaptasikan ‘Girih Tiles’ ini bersandarkan kepada budaya Malaysia agar ianya dapat memperkayakan lagi dunia seni tanah air.Ruangan Artikel Sisipan Seni disumbangkan oleh Black & Brown dan diterbitkan dalam Akhbar Tiga, Utusan Malaysia hari Jumaat setiap dua minggu. Berikut adalah sinopsis ringkas mengenai isi kandungan artikel-artikel tersebut.