“Hadi!” jerit Huda. Dia melangkah pantas menghampiri Hadi.

Hadi yang sedang menuju ke sungai terhenti. Dia tercengat di situ dan tidak mahu berpaling. Dia ingin menyembunyikan lebam di atas tulang pipi kanannya. Dia memandang Huda yang kini berdiri di hadapannya. Muka Huda masam.

“Kau ni dah memang melampau!” tengking Huda. Dia tidak peduli kepada beberapa orang penghuni rumah panjang yang baru pulang dari sungai sedang memandang ke arahnya.

Hadi masih tercegat. Dia kelihatan tidak ubah seperti kanak-kanak nakal yang sedang menanti hukuman rotan.

“Kenapa kau pukul Katmin? Nak jadi samseng? Sedar tak kita ni kat tempat orang?” Huda melepaskan peluru taburnya.

“Kau lagi tak sedar. Mengada-ngada. Harap je pakai tudung. Gatal boleh tahan. Kau tahu tak? Katmin tu sengaja nak ambil kesempatan pada kau. Ingat aku tak nampak Katmin peluk kau?” Hadi membalas kata-kata Huda dengan kasar.

“Oh! Jadi kau mengendap kamilah ya? Kalau kau nak tahu, mula-mula kami keluar bertiga dengan Sika. Sika balik sebab sakit perut. Katmin pulak cuba bantu bila aku nak jatuh tergelincir. Kalau kau berada di tempat Katmin, kau pun akan ambil tindakan yang sama, kan?”

Hadi terdiam. Dia mula was-was terhadap tindakan yang telah diambilnya. Pada mulanya dia hendak meminta pertolongan dari rakan SBK yang lain untuk membelasah Katmin. Tetapi rancangannya itu telah diubah kerana bimbang tidak mendapat kerjasama dari mereka. Lagipun dia lihat, Katmin tidak seperkasa mana. Tubuhnya yang kurus tinggi mudah sahaja untuk ditumbangkan. Lalu dia pun bertindak sendirian. Sangkanya kerja itu akan selesai dengan mudah. Dia pun tanpa teragak-agak menghayun tumbukannya ke muka Katmin semasa terserempak dengan lelaki itu yang kebetulan sedang berjalan bersendirian. Tetapi rupa-rupanya Katmin tidak mudah mengalah. Walaupun nampak lemah, tendangan Katmin boleh tahan juga. Hingga senak perut Hadi menerima habuannya.

“Anak Sarawak pantang dicabar,” ujar Katmin semasa pergaduhan itu. “Mujur aku tak bawa parang. Kalau tidak, ada yang putus!” Tumbukan kuat di hidungnya menyebabkan Katmin mulai tewas kerana dia sibuk menguruskan darah yang banyak keluar. Dia menekupnya dengan tangan.

“Kenapa diam? Dah tau kau tu bersalah? Mujur Katmin tak panggil budak-budak muda kat sini belasah kau. Kalau tidak, tak balik semenanjung nanti. Aku ingat orang Sarawak kaki gaduh. Rupa-rupanya engkau yang dari semenanjung pula yang lebih-lebih. Aku nak kau pergi minta maaf kat dia. Aku tak suka disebabkan aku, ada orang lain yang jadi mangsa. Aku malu tahu tak? Jangan sampai abang Nasran campur tangan!” Selesai mengucapkan kata-kata itu, Huda pantas berlalu dengan langkah yang seperti dihentak-hentakkan.

Minta maaf? Malam sikit! Apasal aku yang kena mengadap dia? Nafsu Hadi membantah.

Dah buat salah, kenapa tak mengaku? Lain kali fikir dulu. Tanya dulu. Jangan main tuduh saja, bisik satu suara seakan-akan mengejeknya.

Hadi meneruskan langkahnya menuju ke sungai. Rakan-rakan SBK yang menyaksikan adegan tadi tidak berkata apa-apa. Mereka pura-pura tidak melihatnya. Bimbang akan mendapat habuan kalau masuk campur. Lebih baik Nasran sahaja yang mengambil tindakan. Mereka telah mengetahui tentang kejadian Hadi memukul Katmin. Mereka bimbang Hadi akan dikenakan tindakan tatatertib. Tetapi nampaknya Katmin tidak mengambil sebarang tindakan. Kalau tidak pasti nama SBK akan tercemar. Pasti tuai rumah akan marah.